سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ: عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ

وَمِدَاد كَلِمَاتِهِ َ


“Maha Suci Allah, aku memujiNya sebanyak makhlukNya, sejauh kerelaanNya, seberat timbangan arasyNya dan sebanyak tinta KalimatNya.”


Wednesday, June 16, 2010

SOLAT TAUBAT



ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat :

1. Ikhlas ingin bertaubat

2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi

3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan

4. Mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya

5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu mesti dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, wajib dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, dia mesti menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka dia hendaklah memohon keredhaannya…

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran…

Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati bererti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya…

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)

Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera…

Cara melaksanakan solat taubat :

Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;

  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),

Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

Ertinya: Aku memohon ampun kepadaMu Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Mu ya Allah.

· dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Aku adalah hamba-Mu. Aku berusaha seberapa daya untuk setia memegang janji Mu. Aku berlindung kepada-Mu ya Allah dari kejahatan dan ketelanjuran yang telah ku lakukan. Aku mengakui sekian banyak nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosa-dosaku. Maka ampunilah aku ya Allah. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

· Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.



Thursday, June 3, 2010

SOLAT TAHAJUD

Susunan Hashim Ahmad

SATU cara paling ideal bagi seorang Muslim untuk berhubungan dengan Allah ialah mengerjakan ibadat pada waktu tengah malam, ketika suasana sunyi sepi dengan kebanyakan makhluk nyenyak tidur dan penuh kesejukan.

Pada waktu itu seorang Muslim boleh beristighfar, memuji, mensuci dan membesarkan Allah, malah mengerjakan solat sunat tahajud serta solat taubat.

Bagaimanapun, bukan satu perkara mudah untuk bangun dari tidur sedang orang lain lena dibuai mimpi. Bukan mudah untuk berwuduk dalam kedinginan malam yang mencengkam tulang dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata terkebil-kebil.

Justeru, tidak ramai yang boleh bangun bertahajud, walaupun mengetahui banyak kelebihannya kecuali mereka yang benar-benar tertarik dengan keindahan Allah, berbanding keindahan mimpi di dalam tidurnya.

"Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhan-Mu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji." (al-Isra: 79)

Solat tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan mereka dengan Allah.

Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.

Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Amalan solat tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.

Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: "Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-

Jauh daripada segala penyakit

Lahir kesan takwa pada wajahnya

Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia

Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)

Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)



Sementar
a empat perkara di akhirat ialah:-

Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri

Dipermudahkan hisab

Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat

Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan."



Tuesday, June 1, 2010

MENANGANI KEMARAHAN


Mengelakkan Kemarahan

1. Hiasi diri dengan sifat pemaaf...

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 134 bermaksud: ...

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Rasulullah SAW, berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku, berilah hidayah kepada kaum ku. Sesungguhnya mereka tidak memahami”.

Kesabaran dan sifat pemaaf itulah menjadi sumber ketenangan para rasul dan para nabi dalam menghadapi pelbagai ujian dalam usaha dakwah mereka.

2. Mengelakkan diri dari faktor-faktor yang boleh menimbulkan kemarahan...

3. Berdoa...

Doa itu merupakan senjata bagi orang yang beriman. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:

“Ya Allah berikanlah kekuatan jiwa padaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling elok yang menyucikannya, Engkaulah walinya dan Engkaulah tuannya.”

“Ya Allah Ya Tuhanku, Yanga Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan Pemiliknya. Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku Memohon dengan Engkau daripada keburukan diriku dan daripada keburukan syaitan serta sekutunya.” Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakr al-Siddiq r.a.


Redakan Kemarahan

Kaedah yang boleh digunakan untuk meredakan kemarahan ialah:

1. Mengambil wuduk

Sabda Rasulullah SAW bermaksaud: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Hanya terpadam api itu dengan air. Maka jika kamu merasa marah maka hendaklah kamu berwuduk.

2. Mengubah ke posisi yang lebih rendah

Sabda Rasulullah SAW: “Jika kamu merasa marah sedangkan kamu sedang berdiri hendaklah kamu duduk, jika kemarahan itu hilang (maka tidak mengapa), jika tidak (juga reda kemarahan itu) maka hendaklah kamu berbaring.”

3. Mendiamkan diri

Sabda Rasulullah SAW : Jika kamu merasa marah, maka diam (tidak berkata-kata). Mendiamkan diri adalah penawar yang mujarab kepada kemarahan. Ia akan memberi ruang untuk kita berfikir sejenak dan membuat pertimbangan berdasarkan akal bukan emosi.

4. Mengucap Isti’azah (A’uzubillah)

Diriwayatkan dalam sahih Bukhari bahawa pada suatu ketika dua lelaki bertengkar di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang yang merah mukanya mencela seorang lagi dengan penuh kemarahan. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku akan mengajar kamu satu kalimah yang jika dibacakannya akan hilang kemarahannya, iaitulah bacaan “A’uzu billahi minasy syaitanir rajim”.

Ucapan isti’azah ini hendaklah dilakukan dengan penuh rasa kebergantungan kepada Allah dan memohon bantuanNya daripada syaitan dan kuncu-kuncunya. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 200 bermaksud: Jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.