"Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina"
1. Memahami dan mengerti akan maksud serta makna doa yang diminta. Kita boleh menggunakan apa-apa juga bahasa sewaktu berdoa asalkan kita memahami dan mengerti akan maksud yang diminta itu. Namun sebaik-baik bahasa yang harus digunakan adalah Bahasa Arab kerana ia adalah Bahasa Al-Quran yang diturunkan oleh Malaikat melalui wahyu yang datang terus dari Allah s.w.t. Selain itu semua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah juga adalah dalam Bahasa Arab.
2. Berdoa dengan penuh keikhlasan hati serta merendahkan diri semata-mata hanya kerana Allah.
3. Berdoa dan meminta kepada Allah dengan sebenar-benar permintaan dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
4. Tidak berdoa dan meminta kepada sesuatu perkara yang mustahil, sesuatu perkara yang buruk atau pada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa.
5. Berdoa dengan penuh khusyuk dan keyakinan diri bahawa doa yang di pohonnya itu akan diperkenankan oleh Allah.
6. Berdoa, bertaqwa dan bertawakal kepada Allah iaitu dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan larangan-Nya.
7. Tidak pernah berputus asa didalam doanya sekalipun permintaannya itu lambat dimakbulkan oleh Allah malah sentiasa beristiqomah, sabar dan menyerah diri kepada Allah.
Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ditimpa kesusahan dan kedukaan daripada kelemahan dan kemalasan, daripada kedekut dan perasaan takut dan daripada desakan berhutang dan paksaan orang.
"Ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku". (Al-Baqarah, ayat 152).
Ada orang menyangka ibadah itu sekadar rukuk dan sujud di tikar sembahyang. Atau mengalunkan ayat-ayat Al Quran dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Atau menggentel biji tasbih dengan berzikir dan bertahmid. Atau sekadar membahagi-bahagikan harta kepada fakir miskin.
Ibadah itu luas pengertiannya. Seluas lautan yang tak bertepi. Ibadah tidak terbatas pada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Ia tidak terbatas pada puasa sunat seperti puasa Nabi Daud; sehari berpuasa sehari berbuka. Pun tidak dikhususkan kepada membayar zakat, menunaikan haji dan sebagainya.
Ibadah adalah pengabdian diri kepada Allah. Dan antara bentuk pengabdian diri yang tidak ketara dan tidak perlu mengeluarkan tenaga ialah ingatan hati dan rintihan hati kepada Allah. Ia merupakan ibadah yang besar nilainya di sisi Allah. Mudah tetapi tidak ramai yang mampu melakukannya.
Mengingati Allah dikira ibadah kerana ia menandakan seorang hamba itu benar-benar berhati hamba. Hamba yang tak punya apa-apa. Yang sewaktu datang ke dunia, tak membawa walau seurat benang di tubuh. Justeru hati sentiasa ingat kepada Yang Maha Pencipta, sentiasa mengharap bantuan-Nya dan sentiasa bergantung kepadaNya. MengingatiNya menimbulkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaanNya.
Namun berapa kerat di antara kita yang ingat akan Allah. Ramai yang lalai dan lupa. Dalam sembahyang, fikiran menerawang entah ke mana. Apatah lagi di luar sembahyang. Renungilah sabda kekasihNya dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
“Wahai anak Adam! Jika engkau ingat kepadaKu, Aku juga tetap ingat kepadamu. Dan jika engkau lupa kepadaKu, Aku masih ingat terus kepadamu. Apabila engkau taat kepadaKu, maka pergilah ke mana saja yang engkau suka, di tempat engkau mematuhiKu dan Aku mematuhimu, dan engkau mengikhlaskan kecintaanKu kepadamu, kemudian engkau memalingkan diri daripadaKu, sedang Aku tetap mengambil berat terhadapmu. Siapakah yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin di dalam perut ibumu. Aku tetap menguruskan segala keperluanmu dengan baik, sehingga terlaksana semua takdirKu terhadapmu. Apabila Aku lahirkan engkau ke alam dunia, engkau lalu membuat maksiat. Bukan begini sewajarnya balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik kepadamu.”
Memang wajar kita mengingati Allah yang telah banyak memberi nikmat kepada kita. Allah yang sentiasa ingat akan kita. Yang terus saja memerhatikan kita. Yang terus mengasihani kita. Yang terus memberi rezeki kepada kita walaupun Dia seringkali diderhakai.
Dengan apa patut kita balas nikmat Allah yang terlalu banyak itu. Ibarat orang yang sedang bercinta, cukuplah asal dikenang atau diingati orang yang dicintai. Begitu juga dengan Allah. Ingatlah Dia kemana kita pergi. Ingat akan Allah bukan semestinya di tikar sembahyang saja. Biar tubuh bersama manusia tetapi hati bersama Allah. Agar setiap detik kita sentiasa dalam ibadah. Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat seribu rakaat (yang tidak khusyuk).”
Demikian keutamaan bagi orang yang sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah. Akal yang berfikir akan meruntun hati agar sentiasa ingat kepada Allah. Apabila hati selalu mengingatiNya, terasa betapa hampirnya Allah dengan kita. Hati akan selalu bermunajat dengan Allah; menginsafi kelemahan diri, lantas mengharap belas kasihan Allah kepada kita yang terlalu banyak berbuat dosa. Hati merintih dan mengharap rahmat Allah yang maha luas itu. Datanglah perasaan betapa hinanya diri yang berasal dari setitik air mani. Tanpa rahmatnya tinggallah kita dalam kehinaan selama-lamanya.
Rintihan hati inilah tanda kita hamba yang tak punya kuasa apa-apa untuk menghalang kudrat dan iradahNya. Tak berupaya menepis Qadak dan QadarNya. Hanya belas kasihan Allah yang diharapkan dapat menjauhkan diri daripada segala bala bencana. Hati yang tidak pernah ingat, apalagi merintih kepada Allah, adalah hati seorang tuan.
Adakalanya segaja Allah timpakan ujian yang berat ke atas hambaNya. Ketika itu hati si hamba akan merintih walaupun bibir boleh mengukir senyum. Kadang-kadang ujian datang silih berganti; seolah-olah Allah tidak mendengar rintihan hati hambaNya.
Sebenarnya, Allah rindu untuk mendengar rintihan hati si hamba. Tanpa ujian, hati tidak ingat Allah dan ia berasa tenteram, hingga hilanglah rasa kehambaan daripada dalam diri. Lalu kerana itu, Allah datangkan ujian silih berganti agar rintihan hati si hamba tidak terputus kepada Tuhannya. Hukama berkata:
“Allah lebih suka mendengar rintihan hamba yang berdosa (termasuk rintihan hati) daripada seorang abid yang duduk beribadah.”
Demikian tingginya nilai rintihan hati seorang hamba dibandingkan dengan ibadah lahir. Ibadah lahir belum tentu melahirkan rasa kehambaan, kerana boleh jadi seorang yang beribadah itu berasa selamat dengan ibadahnya.
Ingatan hati dan rintihan hati seorang insan terhadap Tuhannya datang daripada rasa kehambaan yang tulen. Rasa kehambaan inilah tanda seorang insan telah mendapat nikmat iman yang tinggi nilainya. Tiada sesuatu yang lebih berharga daripada nikmat iman. Beruntunglah mereka yang dianugerahi nikmat ini. Hanya hamba-hambaNya yang terpilih saja yang akan dikurniai rasa kehambaan.
Seorang hamba yang hatinya sentiasa ingat dan merintih kepada Allah tidak bangga dengan nikmat, tidak gelisah dengan bala, tidak rasa tenang dengan pujian, dan tidak menderita dengan kejian. Hati sentiasa merasa serba kekurangan dan amat memerlukan Allah dalam semua keadaan. Inilah yang dikatakan hati yang hidup, yang sentiasa dalam beribadah. Apatah lagi jika ditambah dengan banyaknya ibadah lahir seperti sembahyang, puasa, sedekah dan sebagainya; makin tinggilah darjat si hamba di sisi Khaliqnya.
Di kala malam yang sunyi sepi bani insan tengah tenggelam dalam tidur dan mimpi musafir yang malang ini tersentak bangun pergi membasuh diri untuk datang mengadap-Mu Tuhan
Lemah lututku berdiri di hadapanMu sedu sedan tangisku keharuan hamba yang lemah serta hina ini Engkau terima juga mendekat bersimpuh di bawah Duli kebesaranMu
Tuhan hamba tidak tahu pasti bagaimana penerimaanMu di kala mendengar pengaduan hamba yang penuh dosa dan noda ini
Dalam wahyu yang Engkau nuzulkan Engkau berjanji untuk sedia menerima pengaduan dan sudi memberi keampunan
Dan Muhammad RasulMu yang mulia itu ada mengatakan :
Ampunan Tuhan lebih besar dari kesalahan insan hamba percaya pada tutur kepastian itu sebab itu hamba datang wahai Tuhan bukan tidak redha dengan ujian cuma hendak mengadu padaMu tempat hamba kembali nanti memohon sakinah, maghfirah dan mutmainah
DOA itu adalah ibadat. Kitadianggap melakukan ibadat bila berdoa kepada Allah. Sama ada sesuatu doa dimakbul atau tidak, pahalanya sentiasa ada di sisi Allah. Justeru, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Doa adalah ibadat." Setiap doa dimakbulkan dalam 3 keadaan iaitu: Doa yang dimakbulkan segera di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap orang yang berdoa. Ramai orang yang memperoleh kurniaan hasil kesungguhan mereka berdoa. Kadangkala dengan begitu pantas dan kadangkala lewat disebabkan hikmah yang hanya Allah Maha Mengetahui. Tidak mustahil Allah menerima doa seseorang yang sama sekali dianggap mustahil oleh manusia. Doa yang tidak dimakbulkan di dunia, tetapi disimpan untuk balasan kebaikan di akhirat di atas hikmah yang hanya dikehendaki dan siketahui oleh Allah. Jika ia berlaku, hendaklah difahami bahawa ia adalah pilihan terbaik daripada Allah untuk hamba-Nya. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan kebaikan dunia yang hanya sementara.
Allah tidak memakbulkan sesuatu doa secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam, baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang dipohon. Akal manusia tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu ketentuan Allah. Doa diganti dengan keselamatan diri daripada keburukan yang akan menimpa. Manusiaterselamat daripada berapa banyak keburukan bukan kerana kehebatannya atau kebijaksanaannya tetapi kerana rahmat Allah yang berpunca daripada pelbagai doa kepada Allah.
Sesungguhnya, setiap Muslim wajar berdoa kepadaNya dan jangan berputus asa untuk mendapatkan rahmatNya, selagi ia untuk kebaikan diri kita dan sesama insan serta meminta perlindungan daripadaNya.
Dalam hadis Rasulullah bersabda : "Tidak seorang pun pendoa, melainkan ia berada di antara salah satu dari tiga kelompok ini: Kadangkala ia dipercepat sesuai dengan permintaannya, atau ditunda (pengabulannya) demi pahalanya, atau ia dihindarkan daripada keburukan yang menimpanya." - hadis riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim...
TIKA ALLAH CEPAT MEMAKBULKAN DOAMU, MAKA DIA MENYAYANGIMU, BILA DIA LAMBAT MEMAKBULKANYA, MAKA DIA INGIN MENGUJIMU, BILA DIA TIDAK MEMAKBULKAN DOAMU, MAKA DIA MERANCANG SESUATU LEBIH BAIK BUATMU" KERANA KASIH SAYANG ALLAH ITU MENDAHULUI KEMURKAANNYA.....
“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan diberi kefahaman di dalam agama” (Hadis riwayat Ahmad di dalam Kitab Min Musnad Bani Hashim)
Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara : "Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, ..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."
Bismillahirrahmanirrahim.. Dengan namaMu Ya Allah Yang Sentiasa Mengasihi dan Menyayangi hamba-hambaMu... Ingin aku berbicara denganMu di setiap masa yang aku ada dan di setiap tempat aku berada...
Ingin aku meluahkan segala apa yang terpendam dalam hati ini... Walau aku tahu Engkau sangat-sangat memahami dan mengetahui... Tanpa aku bicarakannya kepadaMu... Malah Engkau lebih tahu segalanya tentang aku dari diriku sendiri... Kerana Engkau yg memiliki sekeping hati ini... Kerana Engkau lebih dekat denganku daripada urat leherku sendiri...
Ya Rabbi...sudilah Kau pandangwajahku... Ya Rabbi... izinkan aku menghadapMu berulang kali sehingga ke akhir hayatku...
Aku tahu.. Aku sering menghadapMu dengan wajah yang kelam, tidak berseri... Aku sering berhadapan denganMu tika jiwaku berkeluh kesah... Aku mencariMu hanya di waktu susah dan derita... Di saat senang dan sibuk dengan dunia, aku melupakanMu... Aku lupa bahawa hidup ini hanya untukMu... Aku leka bahawa dunia ini hanya sementara untuk aku mencari bekal sebanyak-banyaknya...
Namun, di saat ini aku hadir untuk menghadapMu... Bersama dosa dan noda yang tak terhitung banyaknya... Disebabkan kelalaianku menurut hawa nafsu... Dengan tipu daya dunia dan syaitan...
Ya Allah...
Pandanglah aku dengan kasih sayangMu... Pandanglah aku dengan keampunanMu... Aku sangat mengharapkan kasih sayang dan redhaMu... Kerana aku benar-benar menagih syurgaMu dan aku takut nerakaMu... Tapi... layakkah aku Ya Allah?...
Ya Rabbi...seandainya di saat ini Engkau menjemputku pulang... Bagaimanakah... nantinya tika berhadapan denganMu?... Sudikah... Kau menerima hamba-Mu yang hina ini?... Bagaimanakah... keadaanku waktu itu?... Hitamkah... wajahku bila berhadapan denganMu?... Berserikah... dengan sinar cahaya wajah ini?... Berlarikah... aku menujuMu kerana rindu untuk menemuiMu?... Atau menggigilkah... ketakutan kerana takut dan malu denganMu?...
Ya Allah...
Aku bimbang... Aku gusar dan takut Ya Allah... Apabila memikirkan saat itu... Kerana banyaknya dosa ku terhadapMu...
Ya Allah...
Sukarnya untuk aku meredahi cabaran dunia ini... Ingin ku buang jauh duniaku yang melalaikan... Tapi ia selalu menarik-narik hatiku untuk tetap mengulangi kesilapan terhadapMu... Kadang-kadang aku terlupa, kadang-kadang aku sengaja...
Aku takut padaMu Allah...
Tapi kenapa aku seringkali mengulangi dosa-dosa terhadapMu?... Aku sering berjanji di depanMu untuk menyerahkan hidup matiku hanya untukMu...
Namun sering aku memungkiri janji-janjiku itu tanpa rasa berdosa...
Ya Allah.... Aku sering menangis keranaMu kerana takutkan azabMu... Namun aku ketawa semula di saat aku lupa tentangMu... Semudah itu Ya Allah...aku sebagai hamba yg sebenarnya tidak layak melakukan sebegitu... Tapi Engkau Ya Allah...tetap memberi peluang untuk aku kembali padaMu... Engkau sentiasa bersedia mengampuniku...
Aku takut Ya Allah...
Seandainya waktu aku tiba untuk kembali padaMu... Aku dalam keadaan tidak bersedia dan penuh dengan hitam noda... Apakah yang mampu aku persembahkan di hadapanMu kelak?... Mampukah aku memulangkan segala pinjaman yang Engkau beri kepadaku dalam keadaan yg terbaik?...
Ya Allah...
Aku mohon sangat-sangat... Sucikanlah hati aku dengan maghfirahMu... Agar tersenyum aku pulang mengadapMu...
Ya Allah...
Terimalah taubatku sebagai taubat nasuha... Agar bercahaya wajahku dengan nuurMu bila bertemu denganMu nanti...
Ya Allah...
Pimpinlah aku dengan hidayahMu... Agar mudah jalanku ke JannahMu...
Ya Tuhan...
Pegang eratlah hati ini agar sentiasa aku rasa dekat denganMu... Ku harap Kau terima amalku untuk aku persembahkan di hadapanMu kelak...
Ya Allah...
Dengarkanlah rintihan & permohonan hatiku ini... Hadiahkanlah cahayaMu kepadaku sehingga saat aku dipanggil pulang olehMu...
Amiin Ya Rabb..
Aku bermohon sangat-sangat Ya Allah...Perkenankanlah...
:: Ya Allah, maafkan daku jika hatiku tak sempurna mencintaiMu ::
Betapa pentingnya Solat Istikharah dalam kehidupan harian kita
Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.
Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
Mahfum Hadis:
Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”
Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.
Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;
1.Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
2.Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
3.Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
4.Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
5.Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)
Terjemahan Doa':
Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)
1. Hendaklah dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.
2. Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk tawaduk selain merendah diri kepada Allah.
3. Doa dimulakan dengan membaca al-Fatihah atau memuji Allah sekurang-kurangnya, “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas nabi.
4. Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak disamping perut anak jari menghadap ke atas.
5. Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
6. Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati lara dan lalai atau kurang yakin kemahuannya.Rasulullah bersabda, maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah. (Riwayat At-Tarmizi).
7. Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah akan memperkenankan doanya dalam keadaan susah.
8. Berdoa dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan.Firmah Allah yang bermaksud: Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan (Surah al-Araaf ayat 55).
9. Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya:“Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”.
10. Untuk memohon sesuatu hajat, ulangi perkara itu sekurang-kurangnya tiga kali
11. Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Ingat, apabila berdoa jangan meminta sesuatu yang mustahil.
12. Jangan mudah merajuk apabila doanya tidak dikabulkan Allah. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain berserah diri kepada Allah.
13. Sebelum mengakhiri dengan ucapan Amin, setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi s.a.w selain puji-pujian kepada Allah.
Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
Tidak seorang hamba yang berdoa pagi dan petang "Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit dan dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" baca 3 kali, maka tidak akan ada yang memudaratkanya. (Hadis riwayat Tirmizi)
Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut:
Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami, dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin…
Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa masyarakat kami dan dosa keseluruhan umat Islam yang masih hidup dan yang telah mati...
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon apa yang telah dipohon oleh Rasulullah saw dan kami meminta perlindungan dari apa yang pernah diminta perlindungan oleh Rasulullah saw...
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohonkan syurga tanpa hisab dan berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan segala perkara yang boleh membawa kami ke arahnya. Selamatkanlah kami Ya Allah dari sebab-sebab yang boleh membawa kami ke neraka….
Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau sahajalah yang mengetahui segala kelemahan diri kami zahir dan batin, berilah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami, supaya kami dapat memperbaiki diri kami, tambahkanlah Ya Allah kepada kami ilmu, iman dan amal, hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam…
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami pohon kepada Engkau iman yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang halal, anak-anak yang soleh, rumahtangga yang bahagi, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, keselamatan di dunia ini dan di akhirat nanti…
Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau sajalah yang mengetahui segala yang terbuku dihati kami, hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini kepada Engkau, sembuhkanlah segala penyakit yang berada di hati kami, selamatkanlah hati kami dari sifat-sifat yang keji dan jauhilah kami dari perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami...
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari akan hakikat KeTuhananMu dan KerajaanMu dan masa depan kami di akhirat nanti...
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami ini hamba Mu yang mengabdikan diri kepada Engkau dengan sebaik-baiknya, berikanlah kekuatan, taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat melakukan segala apa yang diperintahkan oleh Engkau dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau...
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas mati...
Ya Allah Ya Tuhan kami, hidupkanlah kami dalam iman dan matikanlah kami dalam iman, selamatkanlah iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembuskan nafas yang terakhir...
Ya Allah Ya Tuhan kami, Kau jadikanlah akhir kalam kami dengan kalimahMuلآ اله الا الله ...
Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa berada di dalam kubur, jadikanlah kubur kami salah satu taman dari taman-taman Syurga, selamatkanlah kami ya Allah dari segala sengsara azab kubur dan jangan Ya Allah, jangan Engkau jadikan kubur kami itu salah satu lubang dari lubang-lubang neraka...
Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkanlah kami semasa dalam perjalanan menuju Mahsyar, selamatkanlah kami ya Allah semasa berada di Padang Mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam tujuh golongan orang yang mendapat bayangan naungan ‘Arasy Engkau Ya Allah...
Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin. Semasa kami dijalankan hisab, hisabkanlah kami ya Allah dengan hisab yang paling ringan, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat nabi kami Nabi Muhammad saw...
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah hambaMu ini hamba berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amalan dengan tangan kanan.
Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam Nabi kami al Kauthar, selamatkanlah kami ya Allah, selamatkanlah kami ya Rahman, selamatkanlah kami ya Rahim semasa menyeberangi titian Siratulmustaqim...
Ya Allah Ya Rabbi, Ya Ya Fattah, Ya Azim, Ya Rahman, Ya Rahim masukkanlah kami ke dalam Syurga engkau, bersama-sama orang-orang yang memasuki ke dalamnya...
Ya Allah Ya Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami ini ya Allah, mustajabkanlah doa kami ini dengan berkat nabi kami Muhammad saw dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas…
Rasulullah S. A. W.bersabda : "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..." Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain...
JIWA DIISI DENGAN IMAN, MINDA DIISI DENGAN ILMU, HIDUP DIISI DENGAN AMAL.
“Semua manusia di dalam kebinasaan melainkan mereka yang mengajar dan belajar, semua mereka yang mengajar dan belajar di dalam kebinasaan, melainkan yang beramal dengan ilmunya, semua mereka yang beramal dengan ilmunya di dalam kebinasaan, melainkan mereka yang ikhlas dengan amalnya”.
WAKTU MUSTAJAB BERDOA
Berikut merupakan antara 9 petua dari Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab :
1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”
2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya.
3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”
4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”
5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.”
6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan,
Kemudian mengatakan, atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwudhu (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.”
7. Ata Bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.”
8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.”
9. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”
Wallahu’alam.
GOLONGAN YANG DIMAKBULKAN DOA MEREKA
*Orang yang berada dalam kesusahan “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati.” (an-Naml:62)
*Anak soleh yang taat kepada ibu bapa Diriwayatkan daripada Umar r.a, bahawa baginda pernah berkata mengenai Uwais bin ‘Amir: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Akan datang kepada kamu Uwais bersama rombongan dari Yaman. Dia pernah ditimpa sopak lalu dia sembuh melainkan satu tempat sebesar wang satu dirham. Dia memiliki ibu yang sangat ditaatinya. Jika dia berdoa pasti Allah S.W.T akan memakbulkan, jika boleh, kamu mintalah kepadanya agar didoakan bagi kamu.” (Riwayat Ahmad)
*Ibu bapa kepada anak dan orang bermusafir Nabi s.a.w bersabda melalui hadis bermaksud: “Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah iaitu doa seorang bapa (dan ibu), doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat Abu Daud)
*Orang yang berpuasa hingga berbuka dan pemimpin yang adil Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, iaitu doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Doa-doa mereka itu diangkat Allah ke atas awan, lalu dibuka pintu-pintu langit, Allah s.w.t akan berfirman: Demi kemulian-Ku, Aku akan menolongmu...” (Riwayat Tirmidzi)
*Orang dizalimi Nabi s.a.w bersabda kepada Muaz bin Jabal r.a ketika mengutusnya ke Yaman: “Takutilah kamu doa orang yang dizalimi kerana tiadalah sesuatu penghalang antara doanya itu dengan Allah S.W.T.” (Riwayat al-Bukhari)
*Doa seseorang muslim buat saudaranya tanpa diketahuinya Umm Darda’ r.a meriwayatkan hadis, bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: “Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuannya), maka malaikat yang diwakilkan kepadanya akan berkata, amin dan bagimu sama dengan apa yang kamu mohonkan itu.”